Monday, September 3, 2007

Gambar ini yang dirakamkan menggunakan kamera telefon bimbit disiarkan Marina Mahathir dalam laman blognya, rantingsbymm.blogspot.com.

Dr M jalani pembedahan pintasan koronari esok
Sep 3, 07 12:53pm
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjalani pembedahan pintasan koronari kedua di Institut Jantung Negara (IJN) esok. Pembedahan itu akan dilakukan oleh sepasukan pakar bedah diketuai Tan Sri Dr Yahya Awang, demikian menurut kenyataan IJN hari ini. Bekas Perdana Menteri itu, yang dimasukkan ke IJN semalam, akan menjalani "pembedahan pintasan koronari pilihan". Menurut Bernama, Dr Mahathir, 81, menjalani pembedahan pintasan koronari pertamanya di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 24 Januari 1989. Pengarah Perubatan IJN Datuk Seri Dr Robaayah Zambahari mengetuai panel doktor yang merawat Dr Mahathir. Menurut IJN, atas nasihat doktor, tiada pelawat dibenarkan melawat Dr Mahathir kecuali ahli keluarga terdekat. Ujian komprehensif Dr Mahathir, yang bersara daripada jawatan Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, telah dimasukkan ke IJN baru-baru ini, iaitu pada 18 Ogos lalu, untuk menjalani pemeriksaan rutin dan telah menjalani ujian kardiak (jantung) yang komprehensif. Beliau dibenarkan pulang dua hari kemudian, pada 20 Ogos. Sebelum itu, pada 14 Mei tahun ini, beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Langkawi pada 3.50 petang selepas mengadu sesak nafas ketika sedang berehat di biliknya di Hotel Langkasuka. Keesokannya, beliau diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas untuk rawatan lanjut di IJN dan dirawat di unit rawatan koronari. Lima hari kemudian, beliau dibenarkan keluar dari unit rawatan koronari dan dipindahkan ke wad Bunga Raya dan pada 24 Mei, beliau dibenarkan keluar dari IJN.

No comments: