Monday, September 3, 2007
Tawan P Pinang: Agihan kerusi PKR, DAP hampir selesai
Rundingan pembahagian kerusi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan DAP hampir selesai dengan sasaran utama untuk menawan Pulau Pinang dalam pilihanraya umum akan datang. Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, rundingan tersebut kini tertumpu kepada dua atau tiga kerusi yang bertindih. Sementara rundingan dengan PAS, katanya, diharapkan selesai sebelum bermulanya Puasa minggu depan. "Apa yang pasti, rundingan pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti pembangkang utama ini akan selesai sedikit masa lagi,” kata beliau yang juga pengarah pilihanraya PKR. "Rundingan ini adalah untuk memastikan hanya seorang calon pembangkang menentang Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap di majlis pelancaran projek kalendar anjuran PKR bahagian Ampang di ibu negara malam tadi. Hadir sama Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali (kiri) dan Setiausaha Agung, Tan Sri Khalid Ibrahim (kanan). Sebelum ini, Azmin pernah berkata, PKR akan bertanding di 40 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam pilihanraya umum akan datang. Dekati pengundi Menurutnya, bagi mencapai cita-cita tersebut, kali ini PKR akan meletakkan ramai calon muda dari golongan profesional untuk mewakili parti itu, berbanding pilihanraya lalu. "Pucuk pimpinan parti, termasuk Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menemui dan berbincang dengan calon terbabit dan mereka setuju menjadi calon PKR," katanya. Azmin berkata, calon PKR terdiri daripada pelbagai kaum - Melayu, Cina dan India serta Iban dan Kadazan di Sabah dan Sarawak. Beliau berkata, pihaknya juga meminta calon, terutama yang beragama Islam, supaya mendekati pengundi di kawasan masing-masing mulai Ramadhan ini. Dalam pada itu, Azmin berkata, ahli parti itu tidak boleh menyandarkan harapan kepada Anwar semata-mata tetapi berjuang bersama seperti yang dilakukan sebelum ini. "PKR bukan milik Anwar tetapi milik rakyat, cuma menegakkan prinsip pejuangan yang digariskan bekas Timbalan Perdana Menteri itu. "Kita (parti) tidak akan terheret dengan pertembungan peribadi ataupun yang menjadi perkakas Umno," katanya lagi. Beliau berkata, rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada PKR untuk mengambilalih kerajaan dalam pilihanraya umum akan datang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment