Monday, September 3, 2007

Liong Sik letak jawatan pengerusi Transmile
Sep 3, 07 10:47pm
Transmile Group Bhd, yang pengarahnya sedang menghadapi pertuduhan penipuan akaun, kini menghadapi satu lagi masalah apabila pengerusinya, Tun Dr Ling Liong Sik meletak jawatan. Syarikat pengangkutan kargo itu hari ini memaklumkan kepada Bursa Malaysia mengenai peletakan jawatan Dr Ling daripada syarikat itu berkuatkuasa serta merta. Beliau memegang kira-kira 75,000 saham biasa syarikat itu. Dr Ling dijadual mengadakan sidang akhbar esok, demikian menurut Bernama. Transmile tidak menyatakan sebab peletakan jawatan ahli politik veteran berusia 64 tahun itu. Transmile mendapat liputan meluas Mei lalu apabila juruaudit mendapati ketaksamaan akaun syarikat sejak 2004. Pengarah syarikat, termasuk pengasas dan bekas ketua pegawai eksekutifnya Gan Boon Aun, didakwa kerana memberi maklumat salah. Bulan lalu, Transmile melantik bekas ketua pegawai operasi kumpulan RHB Capital Bhd Wong Yoke Ming sebagai pengarah urusan selepas Gan meletak jawatan. Syarikat kargo udara Malaysia itu yang mendapat hak pendaratan di lebih 10 bandar utama di Asia Pasifik melaporkan kerugian bersih yang lebih tinggi sebanyak RM28.02 juta dalam suku kedua berakhir 30 Jun 2007 berbanding kerugian bersih RM15.09 juta sebelum ini. Perolehannya susut kepada RM149.93 juta berbanding RM152 juta dalam tempoh suku kedua.

No comments: