Monday, September 10, 2007

PAS tuduh setiausaha politik Pak Lah terlibat

PAS mendakwa Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersekongkol dengan pihak polis untuk menggagalkan ceramah anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, malam Sabtu lalu. Wan Farid (foto) adalah Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu dan adik kepada Exco Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Wan Hisham. Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali mendakwa, Wan Farid telah mengarahkan polis mengambil tindakan membatalkan ceramah tersebut yang dihadiri oleh beberapa pemimpin politik pembangkang. Selain Mustafa, pemimpin pembangkang lain ialah Naib Presiden PAS, Mohd Sabu; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Triang, Leong Ngah Ngah. "Wan Farid telah mengarahkan pegawai polis mengambil tindakan tersebut setelah usaha polis memujuk tuan rumah supaya membatalkan program ceramah gagal. "Saya bertanggungjawab dengan kenyataan ini. Polis boleh membuat siasatan menyeluruh untuk mendapatkan kebenaran," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini. Keadaan kelam kabut Hadir sama Mohd Sabu, Khalid, Exco DAP, Ronnie Liu; Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dan Ahli Jawatankuasa PAS, Syed Azman Ahmad Nawawi. Mustafa (foto) berkata, masalah berlaku apabila anggota polis berpakaian biasa yang didakwanya cuba membuat provokasi di tempat ceramah, berjaya dikesan orang ramai. Berikutan itu, katanya, orang ramai cuba menangkap anggota polis berkenaan menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut sebelum beliau melepaskan tembakan. Dua ahli PAS, Suwandi Abdul Ghani, 37, cedera di bahagian dada dan terpaksa menjalani perbedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian manakala Muhamad Azman Aziz, 21, cedera di leher dan dirawat di Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Mustafa mendakwa berpuluh orang awam tercedera dan empat daripada mereka parah. "Ini kali pertama dalam sejarah polis menembak orang awam menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan majlis ceramah pembangkang," katanya. Wan Farid nafi terlibat Sehubungan itu, PAS, kata Mustafa meminta kerajaan menjalankan siasatan penuh di atas insiden tersebut. Mustafa berkata, keluarga mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut manakala pasukan peguam PAS sedang mengendalikan kes tersebut. "PAS juga akan menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayob Yaakob dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam)," katanya. Sementara itu, ketika dihubungi malaysiakini, Wan Farid menafikan dakwaan Mustafa itu. Sebaliknya, Wan Farid berkata, beliau tidak berada di tempat kejadian kerana ketika itu sedang mempengerusikan mesyuarat Umno bahagian Kuala Terengganu. Menurutnya, beliau mendapat tahu mengenai kejadian tersebut daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail.

1 comment:

Raja Petra bin Raja Kamarudin said...

Here is the latest blog created by my conscience ...

RAJA MONGREL @ http://rajamongrel.blogspot.com/
Creating An Absolute Monarchy In Malaysia Based On Royal Supremacy

Hear me confess: My Lies, My Plots, My Hypocrisy … Things that you can never find at my official site @ Malaysia-Today.net

Yours truly,
Raja Petra bin Raja Kamarudin
URL: http://rajamongrel.blogspot.com/